Jangan Pesongkan Hati Kami
March 3rd 2010 -
“Ita, kau ada jumpa tak Zizie sejak dia balik dari belajar kat UK?Isyhh..tak sangka betul aku, dulu bukan main alimnya.Sekarang..lebih hebat dari omputih lagaknya”, ucap Sara kepada Ita.”Ye ker?Tak sangka la kan..eii, risau betul.Manusia ni cepat sangat berubah”, balas Ita.
Itu antara sketsa kehidupan yang berlaku dalam realiti kehidupan hari ini.Seorang kenalan yang dulunya begitu warak boleh bertukar personalitinya disebabkan perubahan budaya dan masa.Tidak mustahil juga, seseorang yang dulunya sentiasa bergelumang dengan dosa dan maksiat boleh berubah menjadi baik di penghujung usianya.Segala-galanya adalah mungkin. Justeru itu, usah terlalu cepat menghukum dan memberikan persepsi negatif terhadap orang lain kerana siapa kita untuk menilai mereka?Sangkaan buruk (su’u dzon) dilarang keras dalam agama Islam. Bukan hanya kerana boleh menimbulkan permusuhan, namun bersangka buruk terhadap orang lain juga akan mencalarkan maruah diri seseorang.
Segala kekuatan untuk mengerjakan ketaatan adalah dengan izin dan kuasa Allah. Tidak ada kemampuan untuk kita berdiri mendirikan solat mahupun berlapar ketika berpuasa melainkan dengan kehendakNya jua. Lantas, usah sesekali bermegah dan ujub dengan kehebatan diri mengerjakan amal soleh yang berlipat ganda kerana andai Allah tidak anugerahkan kesihatan tubuh badan, ketenangan fikiran, kewarasan akal, kelapangan masa dan kemurahan rezeki, nescaya kita hanyalah hamba yang terlalu kerdil dan tidak berupaya melakukan apa-apa hatta mengangkat tangan untuk bertakbir di dalam solat sekalipun.
Jangan terlalu berpuas hati dengan tahap keimanan yang kita miliki pada hari ini kerana tidak mustahil ianya akan berubah-ubah.Koreksi diri kita.Nilai kembali adakah amalan kita pada hari ini jauh lebih baik dari semalam atau sebaliknya? Adakah kita makin taat ataupun kian derhaka terhadap Allah? Semoga sentiasa ditetapkan keimanan serta ketaqwaan kita.Jika hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini, maka beruntunglah kita.Minta dijauhkan Allah dari terpesongnya hati dan iman kita.Moga kita terhindar dari terdorong melakukan maksiat, lalai dari mengingatiNya, merasa selesa bergelumang dengan dosa dan kian tersisih dari mengerjakan ketaatan terhadapNya.
Allah berkuasa membolak-balikkan hati manusia. Iman manusia seringkali bertambah dan berkurang. Ada waktu-waktu tertentu, diri dirasakan terlalu asyik dan ghairah mengerjakan amal soleh dan ada waktu tertentu diri dirasakan terlalu malas beribadat kepadaNya.
Itulah hakikat iman kita. Ia perlu sentiasa dibajai dan disirami selalu dengan zikrullah agar hati kita tidak lalai dari terus mengingatiNya.Sebanyak sekurang-kurangnya 17 kali kita memohon pada Allah lewat solat fardhu yang dikerjakan agar sentiasa ditunjukkan jalan yang sentiasa diredhaiNya , dan bukan jalan yang dimurkaiNya.Panjatkan selalu doa ke hadrat Illahi mudah-mudahan DIA sentiasa meneguhkan keimanan dan tidak sesekali membalikkan hati kita sesudah beriman kepadaNya melalui doa tersebut :
(Mereka berdoa Dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
(Surah Ali Imran : ayat
Moga-moga Allah turut melindungi dan memelihara iman generasi kita sebagaimana doa berikut :
” Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaKu dari sisiMu zuriat keturunan Yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan”.
(Surah Ali Imran : ayat 38)
Hidayah adalah kuasaNya dan hanya diberikan kepada sesiapa yang dipilihNya.Namun,jangan pula kita menyalahkan takdir Allah dengan menganggap kita tidak dipilih untuk menerima hidayah, lantas itu kita terjerumus ke lembah kemaksiatan dan kehinaan. Allah kurniakan kepada kita akal dan iman yang berfungsi membimbing dan memandu kita ke jalan kebaikan.Hidayah perlu dicari dan pencariannya tidak ternoktah di satu titik sahaja namun akan terus berkesinambungan sehingga ke hujung nyawa kita.
Semoga penghujung hidup kita akan berakhir dengan husnul khatimah (penutup yang baik) dan bakal mengadap Tuhan yang Esa dalam keadaan saling meredhai.
Tags: hati, jangan, kami, pesongkan
