Katakan TIDAK pada ROKOK
March 3rd 2010 -
Cadangan kenaikan harga rokok kepada RM30 sekotak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (PAP) pada 1 Nov.2009 baru-baru ini mengundang pelbagai persepsi masyarakat. Ada yang menyokong, ada yang membangkang dan tidak kurang pula yang memberikan alternatif penyelesaian.
Bagi perokok-perokok tegar, harga yang dinaikkan tidak dipersoalkan. Mungkin akan mengeluh sedikit di peringkat awal namun akan terpaksa merelakan demi memenuhi ketagihan dan gian. Bagi yang berfikir secara rasional,ini adalah satu kesempatan terbaik menghentikan tabiat merokok. Kenaikan harga yang melampau akan menjadi satu cabaran buat golongan ini memulakan ‘nafas baru’ yakni hidup bebas tanpa rokok.
Budaya merokok ini dilihat menjadi satu perkara yang biasa dalam masyarakat. Tidak hanya dilakukan oleh kaum lelaki, namun kaum wanita pada hari ini juga ramai yang merokok. Satu budaya yang dulunya dilihat devian dalam masyarakat seakan menjadi satu trend terkini, khususnya remaja wanita.
Entah mengapa, kempen-kempen kesedaran yang dilaungkan oleh pihak kerajaan hanya dipandang lesu oleh golongan ini (perokok-perokok). Meskipun dipaparkan dengan visual-visual mengerikan pada kotak rokok, ia seolah-oleh tidak memberikan sebarang kesan.Malah, ada yang bertindak menukarkan kotak rokok tersebut dengan kotak yang lain.
Sekadar satu peringatan dan renungan bersama terutamanya buat perokok-perokok yang masih enggan melakukan satu anjakan paradingma ke arah gaya hidup yang lebih sihat, ketahuilah bahawa merokok memberikan pelbagai kesan negatif kepada pelakunya dan orang sekeliling.Antara impak merokok adalah daripada aspek kesihatan iaitu merokok boleh menimbulkan penyakit batuk kering, kanser limpa, melemahkan akal, mengurangkan syahwat makan, menguningkan wajah dan gigi, menyempitkan pernafasan, mengganggu urat saraf, menyusutkan badan, merosakkan kelakuan, melemahkan kemahuan, menjadikan tubuh malas dan seribu satu kesan terhadap kesihatan yang lain.
Bagaimana pula dengan aspek kewangan? Mengapa perlu kita bazirkan wang pada perkara yang tidak memberikan satu manfaat pun buat kita? Perokok terpaksa menggunakan sebahagian daripada sumber kewangannya untuk mendapatkan rokok dan ini tentu sahaja menjejaskan perbelanjaan yang diperuntukkan untuk keperluan keluarga. Ini pastinya lebih membimbangkan sekiranya perokok tersebut adalah
terdiri di kalangan remaja yang masih belum memiliki pendapatan sendiri. Lantaran itu, tidak mustahil mungkin ada di kalangan mereka yang tidak teragak-agak untuk melakukan penyelewengan dalam mendapatkan wang dengan cara menerima rasuah, mencuri dan memeras ugut pihak lain.
Andai risiko kesihatan dan kewangan masih belum mampu menyuntik rasa kesedaran ke dalam hati-hati perokok, sekurang-kurangnya biarlah terdetik sensitiviti kita terhadap apa yang dianjurkan dalam Islam berhubung isu ini. Sebahagian ulama’ menghukumkan merokok sebagai harus (mubah). Namun sebahagian besar lagi menghukumkan bahawa segala yang membawa kepada bahaya dan menjerumuskan kepada kebinasaan adalah haram dan wajib dihindari. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh “Tiada bahaya dan tiada membahayakan”.Jika dikaitkan dengan rokok, kajian kesihatan membuktikan merokok tidak memberikan manfaat langsung untuk pelakunya, begitu juga dari aspek kewangan.
Allah juga menyeru kita semua agar menjauhi kebinasaan melalui firmanNya ‘Dan janganlah kamu menjerumuskan diri kamu ke dalam kebinasaan’. (Al-Baqarah :195). Mungkin di kalangan perokok akan memberikan pelbagai alasan untuk membenarkan tindakan mereka seperti merokok dapat melegakan tekanan, memberikan ilham dan inspirasi, memotivasikan kerja, mengikut trend,memudahkan pergaulan sosial dan sebagainya. Walau apa pun alasan yang diberikan, ketahuilah bahawa : “Tidak sama sesuatu yang buruk dan yang baik, meskipun engkau tertarik kepada banyaknya yang buruk itu”. (Al-Maidah :100)
Segala-galanya bergantung kepada diri sendiri. Keazaman yang kuat untuk menjauhi sesuatu yang dilarang agama perlu dipasakkan dalam diri. Kemahuan, nafsu dan keinginan perlu dikekang. Sematkan kesedaran dalam diri bahawa apa yang dilakukan adalah kerana Allah. Mengapa tidak? Bukankah terdapat lima Tujuan Syarak (Maqasid Syariah) yang perlu dipelihara iaitu agama, nyawa, harta, keturunan dan akal? Menghindari diri daripada merokok bermakna kita berjaya memelihara nyawa dan akal. Perlu diingat, tubuh badan bukanlah milik mutlak kita. Ia adalah pinjaman dan amanah daripada Allah yang perlu kita jaga sebaiknya. Sesuatu yang dipinjam perlu dikembalikan semula dalam keadaan yang baik.
Timbang-timbangkan ! Letakkan rasional dan agama di hadapan. Ketepikan keinginan dan kemahuan. Kita pasti boleh berubah andai kita sendiri mahukan perubahan.
Tags: katakan, pada, rokok, tidak
