Eratkan Silaturrahim
March 4th 2010 -
ERATKAN SILATURRAHIM
Manusia tidak akan mampu hidup sendirian di alam yang serba luas ini.Mahu atau tidak, kita terpaksa mengakui hakikat bahawa kita perlu saling bergantung antara satu sama lain.Bersaudara dan berkasih-sayang merupakan antara nikmat besar yang Allah anugerahkan kepada hambaNya :
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
(Surah Ali Imraan : 103)
Hubungan sesama manusia (hablumminannas) usah sesekali dipandang enteng.Berhubunglah atau bersahabatlah kerana Allah.Bukan kerana kepentingan sendiri, mahupun kerana hajat duniawi.
Insan yang bersahabat kerana Allah pasti akan lebih merasai nikmat persahabatan di atas tali agama.Keakraban terjalin atas dasar cinta dan taqwa kepada-Nya.Bertemu dan berpisah hanya kerana Allah.Teguran dan nasihat diberikan kerana cinta yang memuncak terhadap sahabat demi Allah semata.Marah jua kerana agama.Alangkah indahnya dunia andai semuanya dibuat demi Allah yang Esa.
Apabila kecintaan dipasakkan kerana Allah, maka akan menimbulkan perasaan saling menghargai,suka menolong dan dermawan, tidak lokek membelanjakan segala yang dimiliki baik harta dan jiwa kepada sahabat demi Allah.
Namun andai persahabatan itu terbina atas dasar kepentingan diri dan duniawi, manusia kerap terperangkap dan terjerat dengan hasutan nafsu, dendam kesumat dan khianat.Masing-masing berlumba mengejar kepentingan masing-masing dan terjadilah penindasan dan kezaliman.Yang lemah sering ditindas, yang kuat mengambil kesempatan.Dalam hidup, manusia perlu sentiasa berhati-hati dengan apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang.
Tidak semua orang boleh dijadikan sahabat. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Seseorang itu menurut agama (jalan) kekasihnya, maka oleh sebab itu hendaklah kamu semua meneliti orang yang digaulinya.
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tarmizi)
Pilihlah sahabat yang benar-benar bergelar sahabat.Yang mampu membimbing ke arah kebaikan, yang memiliki keistimewaan sifat-sifat yang baik, tidak tergolong dalam golongan fasiq, bukanlah mereka yang mengutamakan ketamakan dunia dan bukan jua yang mampu menjerumuskan kita ke lembah kehancuran.Berpada dan beringat-ingat selalu agar tidak terdorong ke arah kejahatan.Dalam hal ini, Allah telah mengingatkan kita melalui firmanNya :
Dan Jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat Dengan orang-orang Yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, Yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah Engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana Engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah Engkau mematuhi orang Yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di Dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah Al-Kahfi : 28)
Firman Allah lagi :
Oleh itu, janganlah Engkau (Wahai Muhammad) hiraukan orang Yang berpaling dari pengajaran kami, dan tidak mahu melainkan kehidupan dunia semata-mata.
(An-Najm : 29)
Dalam aspek pemilihan sahabat, Allah menganjurkan kriteria yang seharusnya dijadikan panduan :
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau – Dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.
(Surah Luqman : 15)
Peliharalah ukhuwah yang terbina. Tunaikanlah hak sesama Muslim sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda :
“Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain lima perkara : Menjawab salam, menziarahi pesakit, mengikut jenazah, menerima undangan, dan mengucap rahmat kepada orang yang bersin”.
Walau apapun, pepatah Arab ini mungkin boleh dijadikan sebagai satu panduan. “Sayangilah insan yang kamu sayangi berpada-pada, boleh jadi dia menjadi insan yang kamu benci satu hari kelak, dan bencilah insan yang kamu benci berpada-pada, boleh jadi dia akan menjadi insan yang kamu sayangi satu hari kelak”.
Tags: eratkan, silaturrahim

lavender13 Says:
April 15th, 2010 at 6:18 am
nak tanya…
pepatah Arab “Sayangilah insan yang kamu sayangi berpada-pada, boleh jadi dia menjadi insan yang kamu benci satu hari kelak, dan bencilah insan yang kamu benci berpada-pada, boleh jadi dia akan menjadi insan yang kamu sayangi satu hari kelak”.
apa translation die dlm bhs arb???