Seribu Persoalan
March 9th 2010 -
Dalam kehidupan seharian, tentu sahaja kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai persoalan yang menuntut jawapan untuk dirungkaikan. Sebahagian daripada persoalan-persoalan itu menuntut hati dan diri kita sendiri untuk menjawabnya dan sebahagian lainnya pula memerlukan jawapan daripada pihak lain.Kita juga tidak terkecuali daripada dihadapkan dan diasak dengan pelbagai persoalan oleh sahabat-sahabat mahupun insan-insan yang berada di sekeliling kita.Ada yang mampu untuk kita tangani dan tidak kurang juga yang hanya dibiarkan dengan penuh persoalan , tanpa jawapan.
Dalam membicarakan mengenai perkara ini, ada baiknya untuk kita melihatnya dari perspektif Islam iaitu mengenai adab-adab dalam bertanya dan menjawab persoalan yang diajukan.Segala-galanya bergantung kepada niat di hati kita. Kita akan dibalas berdasarkan atas apa nawaitu yang kita qasadkan dan ini bertepatan dengan maksud hadith Nabi iaitu :
“ Sesungguhnya bagi setiap perbuatan itu bergantung kepada niatnya. Dan bagi seseorang itu adalah atas apa yang diniatkannya..”
Apakah tujuan sebenar kita mengajukan sesuatu soalan kepada orang lain? Adakah kita bertanya kerana kita benar-benar ingin mendapatkan jawapan atas persoalan kita?Atau adakah kita bertanya sekadar untuk menguji kemampuan dan pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara sedangkan kita sudah mempunyai jawapan terhadap persoalan tersebut?
Tidak menjadi satu kesalahan atau usah takut disangka bodoh jika kita bertanya untuk mendapatkan ilmu. Bahkan, mungkin ada di kalangan yang malu bertanya itu sebenarnya jauh lebih cetek ilmunya daripada kita. Malah, kita turut digalakkan untuk mengajukan persoalan dalam sesuatu majlis ilmu bertujuan memberikan informasi dan manfaat kepada orang lain yang turut bersama-sama kita dalam majlis tersebut meskipun kita sudah sedia maklum mengenai jawapan kepada persoalan yang diajukan.Malaikat Jibril as telah datang menemui Nabi dalam satu majlis ilmu dan mengajukan persoalan kepada Nabi SAW berkisar pengertian Islam, iman dan ihsan. Pertanyaan yang diajukan tidak lain, untuk menyampaikan ilmu agama dan dakwah kepada sahabat-sahabat yang berada di samping Nabi pada waktu tersebut.
Sebagai manusia biasa, kemampuan akal fikiran kita agak terbatas. Adakalanya daya ingatan kita agak lemah dalam mengingati sesuatu dan ini mendesak kita untuk mengulangi pertanyaan berulangkali bagi mengukuhkan kefahaman dan daya memori.Sesuatu yang diulang-
ulang akan membantu kita untuk lebih mengingati dan menguasainya. Tidak hairanlah jika kanak-kanak kerapkali mengajukan persoalan yang sama berulangkali dan sebagai ibu bapa, usah sesekali jemu melayani pertanyaan si kecil itu.
Walau bagaimanapun, kita hendaklah berusaha seboleh mungkin menghindari dari mewarisi kelakuan Bani Israel. Sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah Al-Baqarah, mereka mengajukan pertanyaan berulangkali kepada Nabi Musa a.s mengenai sifat lembu yang diperintahkan Allah agar mereka mencarinya dalam pembuktian satu pembunuhan yang berlaku dalam kalangan mereka. Tujuan Bani Israel mengajukan pertanyaan berulangkali itu bukanlah untuk lebih memahami arahan tersebut namun ia hanyalah sebagai satu helah atau ‘escapisme’ bagi melepaskan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan perintah Allah.Sikap negatif ini akhirnya hanya menyukarkan mereka bila mana Allah memperincikan secara lebih detail sifat-sifat lembu tersebut, antaranya ialah tidak terlalu tua atau muda, berwarna kuning tua dan tidak pernah digunakan untuk membajak tanah.Ini berbeza dengan perintah awal di mana ia lebih bersifat umum iaitu supaya mencari seekor lembu betina sahaja. Pengajaran penting yang boleh diambil daripada kisah yang dirakamkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 67-71 ini adalah perlunya kesabaran kita dalam melaksanakan perintah Allah tanpa berdolak-dalik lagi.
Bagi pihak yang diajukan dengan persoalan, jawablah soalan yang dikemukakan dengan penuh hikmah dan bijaksana, selari dengan kadar kemampuan dan penerimaan pihak bertanya. Usah terlalu membebankan fikiran mereka dengan sesuatu jawapan yang tidak mampu dicapai oleh akalnya. Jangan sesekali membezakan layanan terhadap orang yang datang mengajukan soalan kepada kita sama ada individu tersebut mulia atau hina pada pandangan mata kita kerana hakikatnya semua manusia adalah sama di sisi Allah. Hanya taqwa sahaja yang membezakan darjat antara kita.
Sekadar renungan, jangan sesekali kita terleka dan alpa dengan empat soalan penting yang bakal diajukan kepada setiap daripada kita di akhirat kelak. Hadith Rasulullah SAW mengungkapkan bahawa “Tidak akan bergerak kedua kaki seorang hamba di hari Kiamat melainkan sesudah ditanya tentang empat perkara ini : Tentang umurnya di mana dia telah menghabiskan, tentang masa mudanya apa yang sudah dia buat, tentang hartanya daripada mana ia peroleh dan ke mana dibelanjakannya, tentang ilmunya, apa yang sudah dia lakukan dengannya”. (Riwayat At-Termizi)
Tags: seribu persoalan
