LA ILMA LA NA …(TIDAK KAMI MILIKI ILMU)
May 27th 2010 -
Sesiapa saja tentu mengharapkan agar anak yang bakal dilahirkan menjadi anak yang pintar.Golongan yang dikatakan genius atau bijak adalah individu yang memiliki IQ pada tahap 175 dan ke atas.
Bagi ibu-ibu mengandung, tentu sahaja banyak petua yang diberikan untuk mendapatkan anak pintar yang diberikan oleh orang-orang tuan. Baik dari aspek pemakanan, dan amalan membaca Surah Luqman dengan harapan, anak itu nanti memiliki IQ yang tinggi.
Mungkin satu kebanggaan pada si ibu dan ayah seandainya memiliki anak segenius pelukis Picaso, komposer Mozart, saintis Albert Einstein dan juara catur dunia, Bobby Fishcer.Usah sisihkan juga, genius-genius kelahiran bumi Malaysia seperti Mohd Shukri Hadafi,Adik Adi Putra,Yoa Ban Chan dan nama yang masih kontroversi, Sufiah Yusof.
Kehebatan yang mereka tonjolkan cukup mengkagumkan. Alhamdulillah, keistimewaan yang jarang diperoleh, telah Allah kurniakan untuk mereka.Mereka amat bertuah kerana tergolong dalam kategori individu bertuah ini berbanding golongan yang biasa.
Seronokkah menjadi orang pintar? Tentu sahaja semua dari kita sering mengimpikan untuk menjadi seorang yang bijak dan sentiasa cemerlang dalam peperiksaan. Ada jua yang berangan-angan alangkah bagusnya kalau tidak perlu bertungkus-lumus siang dan malam mengulangkaji pelajaran,cuma tidur sahaja dan ilmu-ilmu yang dipelajari akan hadir dalam mimpi tanpa perlu berusaha.
Angan-angan yang pasti tidak akan jadi kenyataan.Hakikatnya, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Universiti Harvard, hanya 5% sahaja kanak-kanak yang dilahirkan pintar secara semula jadi berbanding selebihnya yang menjadi pintar kerana usaha dan kebijaksanaan menyesuaikan dengan persekitaran.
Sebenarnya, kepintaran yang Allah kurniakan itu mungkin boleh menjadi ujian dan fitnah yang maha besar kepada pemiliknya jika ia tidak disalurkan mengikut jalan yang betul.Mana tidaknya, dikhuatiri pemilik IQ tinggi ini terus hanyut dilambung pujian.
Merasa taksub dan riya’ dengan kebolehan sendiri sehingga sewenangnya memperkecilkan keupayaan dan kebolehan orang lain yang dianggap tidak mencapai standardnya.Lebih merisaukan sekiranya golongan yang memiliki kepintaran melampau ini gagal mengawal perasaan, lantas menggunakan mindanya yang genius pada perkara yang bertentangan dengan Islam seperti merompak, menipu, menghasilkan teori-teori jahat, mencipta sistem yang menguntungkan diri sendiri tapi dalam masa yang sama merosakkan orang lain.
Kembali pada asas agama yang tentunya Islam.Rasulullah adalah model terbaik dalam menangani dan membentuk potensi individu.Apa yang baginda lakukan adalah memahami terlebih dahulu potensi yang dimiliki oleh seseorang individu untuk tindakan lanjut yang sewajarnya.Rasulullah melihat kepada kesesuaian bakat yang dimiliki oleh seseorang.
Sebagai contoh, bila mana Abu Dzar meminta untuk dilantik sebagai amir (ketua) , Rasulullah terus mengingatkan beliau bahawa kepimpinan adalah sesuatu yang berat sedangkan Abu Dzar lemah dalam aspek kepimpinan.Meskipun petah bercakap, namun tugas sebagai pemimpin bukanlah selayaknya untuk beliau.
Apa jua ilmu yang dimiliki perlu diseimbangkan.
Maksudnya,perlu ada tawazun (kesimbangan) aqliah dan naqliah.Tidak boleh berfikir menjangkau batasan yang dibenarkan.Sebagai contoh dalam persoalan roh.Allah melarang manusia mengkaji terlalu mendalam mengenainya kerana ia adalah urusan-Nya. Cukup sekadar mengetahui menurut apa yang telah Allah jelaskan di dalam Al-Quran dan penerangan daripada RasulNya.
Persoalan keadilan amat dititikberatkan dalam Islam meskipun terhadap kanak-kanak. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sewajarnya kanak-kanak diberi ruang dan nafas untuk hidup dan bersosial sebagaimana yang selayak dengan usianya tanpa terlalu memberikan tekanan untuk mereka dalam soal akademik sehingga membawa kepada akibat buruk seperti depresi atau masalah schizophrenia seperti yang dialami oleh John Forbes Nash iaitu seorang penerima Anugerah Nobel kerana kehebatannya dalam bidang Matematik di Universiti Princeton.
Semua ilmu dan kepandaian yang dimiliki adalah milik Allah.Kita hanya sebagai wasilah(perantara).Andai pernah merasa ujub (takjub) dengan diri sendiri kerana ilmu yang dimiliki,cuba renungkan kembali.
Adakah mampu untuk kita membina sebuah sarang berbentuk heksagon yang begitu kemas tanpa sebarang peralatan dengan ukuran sudut yang sama tanpa meninggalkan sedikit pun ruang di tengah-tengahnya sebagaimana yang mampu dilakukan oleh lebah kecil yang baru berusia 12 hari?Jika belum mampu, jadi terimalah hakikat bahawa sesungguhnya Maha Suci Allah..tiada kami memiliki ilmu ( la ilma la na ) melainkan apa yang Engkau ajarkan sahaja…
Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa Yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.(Al-Baqarah : ayat 32)Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa Yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.(Al-Baqarah : ayat 32)
Tags: LA ILMA LA NA, TIDAK KAMI MILIKI ILMU