SALAH SIAPA ?
May 27th 2010 -
SALAH SIAPA ?
Saban hari di dada akhbar dan media massa, hati kita seakan terhiris apabila membaca dan melihat gambaran kezaliman Israel ke atas umat Islam di Palestin. Bukan sahaja umat Islam yang merasakan kehibaan itu, tetapi semua manusia tanpa mengira bangsa, agama dan kenegaraan mereka, turut sama berkongsi perasaan itu dengan umat Islam. Bagi mereka yang bukan Islam, ini adalah hal keperikemanusiaan, tindakan Israel ini sudah melampau dan mencabar fitrah manusia semua.
Apa yang berlaku ke atas umat Islam hari ini adalah disebabkan kelemahan kita semua. Kita jangan salahkan musuh yang memusuhi Islam, kerana itu memang kerja mereka. Kita sendirilah yang bersalah kerana lemah dalam membina benteng diri. Lemah dalam mengisi iman dan taqwa di dalam hati. Lemah, kerana kita tidak membaiki diri dari segala sifat-sifat mazmumah.Musuh-musuh Islam memang tidak pernah sepi daripada menyerang dan menggugat aqidah umat. Mereka berusaha dengan berbagai cara, kaedah dan saluran. Mereka menggunakan saluran politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, hiburan, media masa, filem dan sebagainya.
Kalaupun tidak sampai memusnahkan aqidah, namun mereka tetap mahukan agar umat Islam ini sekurang-kurangnya bersikap acuh tak acuh kepada agamanya. Mereka sudah cukup berpuas hati sekiranya umat Islam ini sangat toleransi terhadap agama dalam erti kata tidak meninggalkannya secara total dan tidak pula menganutnya secara total. Agama dipilih mengikut selera dan dalam acara tertentu. Agama menjadi aktiviti bermusim dan menjadi agenda persatuan atau pertubuhan untuk dimuatkan di dalam laporan tahunan.
Agama tanpa penghayatan yang bukan lagi cara hidup memang sudah sangat ketara di kalangan umat Islam. Cuba kita teliti atau hitung, dari mula bangun tidur hingga kembali kepada tidur, banyak mana ajaran Islam yang kita hayati. Banyak mana Islam dijadikan panduan dalam segala urusan hidup. Banyak mana kita membawa Tuhan bersama dalam mengendalikan segala urusan harian. Sebab itu jangan salahkan musuh. Itu memang kerja mereka. Kita sendirilah yang bersalah kerana lemah dalam membina benteng diri. Lemah dalam mengisi iman dan taqwa di dalam hati. Lemah, kerana kita tidak membaiki diri dari segala sifat-sifat mazmumah. Lemah dalam melawan nafsu serakah. Lemah dalam membawa Tuhan dalam urusan hidup. Akhirnya Tuhan biarkan umat Islam diratah-ratah, dibuli dan diperkotak-katikkan oleh musuh. Ini belum lagi diperhitungkan untung nasib di Akhirat. Entah di Neraka mana yang kita ini bakal dihumban lantaran terlalu amat derhaka kepada Allah SWT. Betapa tidak, jauh sekali umat Islam ini berjuang untuk membangunkan empayar, menguasai bumi yang merupakan milik Tuhan, membenteng diri daripada ditembusi aqidah dan budaya kufar pun tidak berupaya.
Apabila Rasulullah SAW diutus, masyarakat yang dihadapi baginda SAW itu bukan sahaja mereka musyrik dan kufar, bahkan mereka juga turut dilanda masalah sosial yang amat dahsyat. Sebut saja apa jenis kejahatan manusia, semuanya mereka lakukan terang-terangan tanpa segan silu. Namun sejarah telah membuktikan, dalam tempoh yang singkat Rasulullah berjaya menukar sejahat-jahat manusia kepada khairunnas – sebaik-baik manusia.
Rasulullah SAW menanamkan iman. Mengetahui Rukun Iman bukan bererti sudah beriman. Mungkin itu sekadar boleh mengesahkan iman semata-mata,
namun begitu takut dan gerun kepada Tuhan hingga gementar hati,mereka tidak lagi takut selain daripada Allah SWT. Mereka bukan saja tidak terjejas atau tidak terusik hatinya oleh sebarang budaya, bahkan mereka sendiri sanggup memperjuangkan Tuhan dan agama-Nya hingga tergadai nyawa.
Selain itu, Rasulullah SAW mencanangkan kehidupan Akhirat yang jauh lebih baik dan utama. Sebenarnya tidak ada tandingan dan bandingan tentang kehidupan Akhirat.Menyedari hakikat bahawa hidup ini terlalu amat singkat berbanding Akhirat yang kekal abadi itu, tentulah tidak ada manusia waras yang sanggup mensia-siakan hidup ini begitu saja. Apatah lagi, sudah tentulah takut untuk berbuat dosa dan maksiat walau sedetik. Tentulah tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya untuk kesedapan yang sekelumit ini.